Kekhuatiran itu turut timbul ekoran wabak penyakit anjing gila semakin meningkat serta menjadi tular di media sosial dan elektronik.

 Justeru, bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penyakit jenis itu, Malaysia One Health University Network (MyOHUN) dengan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan Latihan Pencegahan Zoonotik Haiwan Liar dan Kesihatan Ekosistem Tropika.

Sebanyak 40 penuntut Kursus Perubatan dan Veterinar UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaya (UM) menyertai latihan itu.

Ketua Projek, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, latihan tertumpu kepada penyakit yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia dan sebaliknya.

“Latihan ini turut dilaksanakan untuk memupuk kesedaran mengenai pemeliharaan haiwan liar yang terancam dan meningkatkan kefahaman terhadap punca mereka disenaraikan sebagai spesies terancam,” katanya kepada S2.

Tengku Rinalfi menambah, peserta juga diberi latihan bagi membolehkan mereka memahami tentang interaksi antara hidupan liar, manusia dan alam sekitar.

“Peserta yang juga duta One Health diberi pendedahan menyeluruh mengenai tanggungjawab mereka dalam memelihara serta mewujudkan kehidupan lebih baik dalam putaran ekosistem,” katanya.

Program itu turut disertai pekerja Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok (SORC) dan enam felo Southeast Asia One Health University Network (Seaohun) dari Vietnam, Thailand, Bangladesh dan Malaysia.

Antara pengisian utama sepanjang program itu adalah perkongsian ilmu menerusi sesi ceramah khas yang dikendalikan Dr. Chris Whittier dan Prof. Dr. Stanley Gordon Fenwick dari Universiti Tufts, Amerika Syarikat.

Selain mendekati haiwan liar menerusi ekspedisi Gua Gumantong dan Sungai Kinabatangan, peserta juga menyertai lawatan ke SORC untuk mempelajari tingkah laku, habitat dan pemakanan Orang Utan.

Dalam pada itu, seorang peserta, Ilyas Hanafi Razali berkata, latihan tersebut membantu meningkatkan pemahamannya tentang penyakit berkaitan.

“Menerusi penglibatan ini, saya dapat memahami kesan penyakit bawaan haiwan kepada manusia dan impak terhadap komuniti jika tidak dihentikan,” katanya.