Program In-Situ One Health Problem-Based Learning on Animal, Wildlife, and Ecosystem Health, pupuk kemahiran insaniah pelajar

Written By :

Category :

Media

Posted On :

Share This :

KUCHING, 21 Jun – Dalam usaha memperbaiki kesihatan masyarakat secara menyeluruh, serta memupuk kemahiran insaniah pelajar, program ‘In-Situ One Health Problem-Based Learning on Animal, Wildlife, And Ecosystem Health’ telah dianjurkan oleh Malaysia One Health University Network (MyOHUN) diketuai oleh pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar Prof. Madya Dr Hasliza Abu Hassim serta dibantu enam fasilitator dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak.

Seramai 39 peserta terdiri daripada penuntut Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga staf daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak menyertai program ini.

Fasilitator program, Prof. Madya Dr Hafandi Ahmad berkata, pelajar yang terlibat dalam program itu terdiri daripada pelbagai bidang antaranya perubatan, kesihatan alam sekitar, biomedik, veterinar dan perhutanan.

Tambah beliau, program ini mempunyai keunikan dan kelebihan kepada peserta apabila mereka dibawa ke lokasi ‘in-situ’ untuk diberi pendedahan dan menimba ilmu mengenai konsep One Health dalam menangani isu penyakit zoonosis, iaitu penyakit berjangkit daripada haiwan ke manusia serta manusia ke haiwan.


Selain daripada aktiviti ‘Problem-Based Learning’ yang dijalankan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, juga dikenali sebagai pusat pemulihan Orang Utan terbesar di Sarawak dan Pusat Hidupan Liar Matang, program yang disokong oleh United States Agency for International Development (USAID) ini turut melibatkan aktiviti lain seperti lawatan ke Muzium Budaya Borneo bagi mempelajari tentang keunikan warisan, etnik dan budaya di Sarawak.

Di akhir program, peserta telah membuat pembentangan tugasan dan rumusan mengenai aktiviti ‘In-situ Problem-Based Learning’ ini. Para peserta turut mengadakan persembahan kebudayaan pelbagai etnik di Sarawak seperti tarian ngajat dan sketsa Puteri Santubong dengan menerapkan mesej mengenai One Health dalam persembahan mereka. – UPM

Sumber: https://www.upm.edu.my/berita/program_in_situ_one_health_problem_based_learning_on_animal_wildlife_and_ecosystem_health_pupuk_kemahiran_insaniah_pelajar-73729